Abstract:
Kertas kerja ini menyajikan secara ringkas akan hasil analisis fonetik akustik berkomputer (computer-aided acoustical phonetics) terhadap “vokal beraspirat” dalam bahasa Melayu dan “konsonan beraspirat” dalam bahasa Thai, dengan menggunakan dua jenis perisian komputer, iaitu Sound Filing System (SFS) dan Wave Surfer (WS). Analisis akustik berkomputer ini mempunyai satu kelebihan yang dapat memperlihatkan fenomena akustik bunyi bahasa dalam bentuk visual, dan mendedahkan pelbagai perkara bunyi bahasa yang dikonsepkan secara abstrak dalam bidang kajian fonologi. Kajian fonetik bahasa Melayu/Indonesia yang moden berkembang sejak tahun 1980-an, tetapi kaedah analisisnya agak terbatas, iaitu fonetik artikulasi dan fonetik auditori. Hal ini bermakna pengkaji fonetik belum banyak yang menggunakan kaedah fonetik akustik berkomputer yang bersifat saintifik. Dua hasil kaedah analisis yang mula-mula disebut tadi tergantung sedikit sebanyak pada tabiat dan pengalaman pengkaji individu, manakala kaedah analisis fonetik akustik berkomputer dapat dinilai oleh para pengkaji secara objektif. Kajian kertas kerja ini memperkenalkan kaedah saintifik ini kepada pengkaji dan mahasiswa dari aliran linguistik.