Abstract:
Fenomena pertembungan dua bunyi yang terdapat antara awalan me(N)-atau pe(N)- dengan bunyi awal kata dasar telah kami selidiki dari segi fonetik akustik berkomputer dalam suatu kajian kami yang dahulu. Kajian ini membuktikan secara saintifik bahawa bentuk meng- dan peng- yang ditetapkan oleh sesetengah pengkaji dari aliran TG sebagai morfem dasar bagi awalan yang berkenaan tidak dapat menghasilkan bentuk alomorfnya seperti yang digunakan secara umum dalam bahasa Melayu standard. Maksudnya, variasi dua awalan tersebut sebaiknya dianalisis sekali lagi berdasarkan kaedah eklektik yang menggabungkan satu idea “pilihan yang sedia ada” dengan satu lagi idea “asimilasi bunyi”. Dengan kaedah ini dapat dikemukakan satu hasil analisis dari segi fonetik fiziologis dan juga fonetik akustik berkomputer, iaitu (i) pertembungan dua konsonan nasal dihindari di sempadan dua morfem, (ii) konsonan letupan tak-bersuara digugurkan di awal kata dasar, (iii) konsonan letusan tak bersuara c (bunyi artikulasi gandaan) dikekalkan, (iv) hanya bentuk meng- dan peng- sahaja bertembung dengan vokal awal kata dasar, (v) konsonan h yang hadir di awal kata dasar mendekati sifat vokal, dan (vi) konsonan l, r, w, y yang hadir di awal kata dasar menjauhi sifat vokal. Namun, awalan menge- yang agak baharu dalam sejarah bahasa Melayu standard tidak dapat diperjelas dengan kaedah yang sama. Dalam kajian kali ini kami hipotesiskan bahawa awalan menge- dicipta, melalui kesalahfahaman, dari awalan nge- < nge(N)- yang terdapat dalam bahasa Sunda atau bahasa Jawa.